Thursday, January 12, 2017
ulasan polis evo
ULASAN FILEM POLIS EVO
PENGENALAN
Polis Evo mengisahkan seorang Inspektor narkotik terbaik di Kuala Lumpur iaitu Inspektor Khai (Shaheizy Sam) ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes Syabu Naga yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu. Meskipun kes ini mempunyai kaitan dengan kes yang dikendalikan oleh Inspektor Khai sebelum ini, namun dia harus bekerjasama dengan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang bertugas di Terengganu. Ini kerana Inspektor Sani lebih arif dengan selok-belok negeri kelahirannya itu. Walau bagaimanapun, mereka berdua mempunyai personaliti berbeza. Inspektor Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas dan ini berbeza sekali dengan Inspektor Sani, yang lebih mengikut prosedur dan protokol. Ketidakserasian itu membuatkan misi mereka hampir gagal. Segalanya berubah apabila ketua penjenayah, Izrail mula melibatkan keluarga Inspektor Sani dalam kes ini. Inspektor Khai dan Inspektor Sani kini sedar mereka perlu belajar bekerjasama bagi menyelesaikan misi mereka
Pengarah Polis Evo,, Ghaz Abu Bakar menjadikan negeri Terengganu sebagai tempat penggambaran untuk Polis Evo ini. Terengganu merupakan salah satu negeri pelancongan di Malaysia yang cantik dan masih mengekalkan ciri-ciri perkampungan tradisional dan perkampungan nelayan. Penggambaran yang dilakukan sekitar perkampungan nelayan dan juga menjadi kampung kelahiran bagi Inspector Sani sangatlah cantik dengan permandangan laut dan perkampungan. Ditambah pula dengan latar dialek tempatan dengan penggunaan loghat Terengganu, watak tempatan dan pemaparan budaya Melayu dalam beberapa babak. Harus diakui dialek Terengganu antara dialek yang agak sukar ditiru oleh pelakon bukan lokal, tetapi dalam filem ini berjaya menyampaikan persembahan secara minimal tanpa memperlekehkan Melayu luar bandar (seperti kebanyakkan filem tempatan lain) tetapi mengangkat karekter-karekter ini kepada satu bentuk frasa ‘ketenangan’ dan ‘alternatif’ terbaik bagi orang kota untuk saling mengenali. Filem ini juga mengambil pendekatan membuat pengasingan dialek bagi watak antagonis (dengan dialek Terengganu Utara, yang berbaur Kelantan) dan watak protagonist (dengan dialek Terengganu standard) yang mana ia sangat relatif kepada aspek geografi yang dipaparkan di dalam skrip.
Filem yang ditayangkan selama dua jam ini, mempunyai pengisian yang boleh dikatakan aga padat dan pantas. Konflik yang dipaparkan juga tidak terlalu rumit dan senang difahami, terutama bagi penonton kanak-kanak. Dalam Polis Evo, pengarah cuba menyampaikan bidang kerjaya seorang anggota polis yang cuba membenteras jenayah dan dengan menggunakan kenderaan utama yang menjadi kebanggaan anggota PDRM dan Malaysia iaitu Mitsubishi Evo. Dan kenderaan ini juga dijadikan sebagai tajuk utama filem ini ‘Polis Evo”. Polis Evo ternyata tidak mengamalkan ‘preaching storyline’ bagi memberikan kefahaman dan kesedaran kepada penonton tetapi ia lebih bersifat menguji perhatian penonton terhadap isu jenayah dan sosial menerusi subtle text dan plot berdasarkan ‘clue by clue’ dan bukan hanya rangkuman hipotesis. Naratif yang kuat ada pada Polis Evo berjaya mengangkat filem kepolisan ini kepada standard ‘feel good movie’.
Adegan-adegan dalam Polis Evo disusun dengan logik bagi tidak mencacatkan filem seperti yang dilakukan kebanyakkan filem-filem lain Malaysia. Namun begitu, terkadang terdapat juga babak-babak yang agak tidak logic berlaku tanpa disedari oleh pengarah dan ini disedari oleh penonton dan hal ini sedikit sebanyak dapat mencacatkan filem. Menghormati penonton adalah satu sifat jujur pengarah yang jarang ada dalam filem tempatan kini dan ia sangat dihargai. Pengarah tidak boleh sambal lewa berbuat itu ini dan berharap penonton sama ada cukup bodoh untuk tidak menyedarinya atau memaafkan sahaja kesilapan tersebut. Contohnya seperti dalam babak Inspektor Sani (lakonan Zizan Razak) menumbuk-numbuk dinding hospital kerana marah apabila mengetahui adiknya diculik penjahat. Perlakuan itu diperhatikan oleh salah seorang jururawat yang senag bertugas di situ yang seperti tidak setuju dengan perbuatan tersebut tetapi dia tidak berani melarang. Walaupun babak ini kecil, tetapi memberi signifikan dan agak kurang menghormati intelek penonton terhadap isu bahawa perlakuan sebegitu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dilakukan oleh seorang anggota polis dan di sebuah Hospital.
Dalam memastikan filem yang dihasilkan mencapai box office, pemilihan pelakon amatlah penting. Contohnya pemilihan Saheizy Sam dan Zizan Razak serta Nor Danish. Ketiga-tiga pelakon ini amat memenuhi kehendak Ghaz kerana pandai memainkan peranan dan watak masing- masing. Nora Danish, memang merupakan seorang pelakon yang serba boleh dan ramai peminat. Dalam filem ini Nora bercakap dalam dialek Terengganu dan didengar agak tidak janggal seperti dia pernah berbacakap dalam dialek Terengganu. Manakala memang tidak sukar bagi Zizan untuk bercakap dalam dialek Terengganu kerana dia sendiri adalah orang Terengganu.
Sementara Saheizy Sam pula memang terkenal dengan machonya, dan dapat melakonkan watak apa sekalipun yang diberikan kepadanya. Dan tidak hairanlah bila dia memenangi Pelakon Paling Popular setiap tahun. Pemilihan A. Galak yang memegang watak sebagai pegawai kepada Inspektor Khai adalah satu pilihan yang tepat kerana A. Galak adalah pelakon tetap dalam drama Gerak Khas dan secara tidak langsung beliau sudah kenal dan memahami selok belok dalam genre kepolisan.
Terdapat ramai pelakon berkarekter yang menyerikan filem ini dengan membawakan watak polis dan antagonis. Husyairy Hussain (Bunohan, Tersasar Di Jalanmu) membawakan watak kepala penjahat memberi lakonan yang berjaya memperkuat jalan cerita manakala lakonan pelakon baru Pablo Amirul (Sniper) sebagai Jimbo sebenarnya wajar diberi perhatian. Pelakon –pelakon yang membawa watak keluarga Inspektor Sani (Kamaliah Mat Dom & Eyka Farhana) juga berjaya menonjolkan chemistry yang baik. Biarpun sekadar cameo, lakonan pemenang FFM yang lalu, Amerul Affendi berjaya mencuri tumpuan cuma sayang watakknya tidak dikembangkan. Filem ini juga menampilkan lakonan kali terakhir seniman Harun Salim Bachik sebagai ASP Mokhtar, dan seperti biasa lakonannya menghiburkan.
Ghaz bijak memanipulasi elemen-elemen dalam filem ini dengan memasukkan elemen Hollywood untuk menarik penonton bagi segenap lapisan umur. Adegan tembak menembak dan kejar mengejar pastinya akan mendapat perhatian dari golongan kanak-kanak dan juga remaja. Sebagai seorang pengarah yang berpengalaman beliau semestinya tahu tingkat hiburan yang dikehendaki orang ramai pada masa ini dan selera penonton Malaysia yang mahukan filem-filem trill seperti Polis Evo ini.
Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa kesilapan semasa membikinkan Polis Evo seperti Inspektor Sani yang bertugas di kampung sendiri yang menampakkan sedikit pelik kerana secara hakikinya seseorang anggota polis itu akan ditugaskan ditempat yang tidak dikenali bagi megelakkan bias.
Pegawai Polis simpan baju seragam dan barang-barang peribadi dalam locker. Seorang pegawai polis yang berpangkat Inspektor seperti Inspektor Sani dan Inspektor Khai pada realitinya mempunyai bilik pejabat mereka tersendiri. Inspektor Khai adalah seorang detektif yang membantu tugas Inspektor Sani sudah pasti beliau tidak memerlukan locker untuk menyimpan baju seragam.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, Polis Evo memiliki kebanyakan elemen hiburan yang telah ditetapkan seperti adegan polis mengejar penjahat, berbalas tembakan, kereta meletup, pergaduhan, komedi dan juga elemen cinta yang ringan. Polis Evo boleh dikatakan sebuah filem aksi yang boleh dibanggakan. Penampilan Zizan Razak dan Sam juga dikatakan memiliki bentuk fizikal yang sesuai sebagai karekter seorang polis. Secara peribadi kita boleh terhibur dengan filem Polis Evo, dan ia amat sesuai di tonton oleh pelbagai peringkat umur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)





No comments:
Post a Comment